GEORGETOWN, 27 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan Indonesia pada 22 dan 24 Disember lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Kendi sekitar jam 4.17 petang pada 22 Disember, manakala sebuah bot nelayan Indonesia pula ditahan pada kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada sekitar jam 12.10 tengahari, 24 Disember dalam rondaan OP TANJUNG.
Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak itu dikendalikan oleh lima kru Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) iaitu tiga warga Myanmar, dua warga Thailand yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun.
Mereka juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja.
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Manakala, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun.
Kesemua mereka didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.
Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan menegaskan agar semua komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
BOT KARAM, LIMA NELAYAN SELAMAT
LAKUKAN PELBAGAI KESALAHAN, SEBUAH BOT PUKAT JERUT BILIS DITAHAN
DUA BOT NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN NEGARA DITAHAN
MARITIM MALAYSIA AKTIFKAN SEMULA OP PAGAR LAUT SEMPENA RAMADAN DAN SYAWAL
BOT NELAYAN KELAS B DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN
LAGI 27 SET BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN PULAU TALANG .
34 SET BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN PULAU TALANG
DUA NELAYAN DISELAMATKAN DISERAH KEPADA INDONESIA
MAJLIS PEMAKAIAN PANGKAT PEGAWAI PENGUAT KUASA LAIN-LAIN PANGKAT MARITIM MALAYSIA .
PUTRAJAYA, 22 Mac – Seramai sembilan anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima pemangkuan pangkat pada satu Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Penguat Kuasa Lain - Lain Pangkat (LLP) Maritim Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Hj Mohd Amin dengan iringan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustapa.
Mendahului senarai penerima pangkat bagi Pegawai Waran II Maritim Gred T10 ialah Bintara Kanan Maritim Noorhisham Tumiran dan Bintara Kanan Maritim Rahim Basiron.
Seterusnya, penerima bagi pemakaian pangkat Bintara Kanan Maritim Gred T8 didahului oleh Bintara Muda Maritim Khairul Anuar Md Diah diikuti dengan Bintara Muda Maritim Amran Samsudin dan Bintara Muda Maritim Kamarul Zaman Bin Mat Arifin.
Akhir sekali, pemakaian pangkat Bintara Muda Maritim Gred T6 diterima oleh Laskar Kanan Maritim Azman Omar, Laskar Kanan Maritim Norsahlizan Dahlan, Laskar Kanan Maritim Mohamad Fuad Ahmad dan Laskar Kanan Maritim Fred Justine.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima kenaikan pangkat. Selamat maju jaya.