PERSIJILAN EKSA CEMERLANG 2020: ZON MARITIM TANJUNG MANIS PAHAT SEJARAH SEBAGAI PEJABAT MARITIM MALAYSIA PERTAMA TERIMA ANUGERAH EKSA MAMPU

KUCHING, 23 Oktober - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis memahat sejarah sebagai Zon Maritim ulung dalam agensi ini yang menerima Anugerah EKSA Cemerlang, semalam.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sarawak, Encik Banges Munga kepada Komander Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim, Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, di Pejabat MAMPU, Sarawak.

Ini merupakan pengiktirafan yang julung kalinya diterima APMM dan telah meletakan Zon Maritim Tanjung Manis sebagai pejabat Maritim Malaysia pertama di Malaysia memperoleh pensijilan EKSA daripada MAMPU.

EKSA atau Ekosistem Kondusif Sektor Awam merupakan salah satu dasar perkhidmatan awam yang diterajui oleh MAMPU dalam menerap dan meningkatkan budaya kecemerlangan organisasi berimejkan korporat serta melahirkan idea kreatif serta inovasi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim berkata, pasukan Audit Pensijilan EKSA MAMPU Sarawak telah membuat pengauditan di bangunan pejabat tiga tingkat Zon Maritim Tanjung Manis yang berkeluasan lebih kurang 1,095 meter persegi yang menempatkan 44 orang pegawai dan anggota telah berlangsung pada 23 hingga 25 September 2020 yang lalu.

"Penerapan EKSA Zon Maritim Tanjung Manis bermula seawal 24 April 2019 dengan galakan Cawangan Inovasi dan Kualiti, Bahagian Khidmat Pengurusan Ibu Pejabat Maritim Malaysia serta dorongan pegawai peringkat atasan Maritim Negeri Sarawak bagi penerapan objektif utama cawangan ini kepada peningkatan imej pejabat Maritim Malaysia dalam memupuk semangat kerja berpasukan dan pembangunan inovasi, idea serta kreativiti bagi mengiktiraf usaha setiap individu atau kumpulan secara berterusan," katanya.

Menurut Ariz, penerapan sepenuhnya penglibatan amalan EKSA oleh setiap warga pejabat ini amat menggalakkan selaras dengan panduan oleh pihak MAMPU.

"Syukur dan tahniah kepada setiap warga Zon Maritim Tanjung Manis serta penghargaan juga kepada pihak pengurusan yang telah memberikan sokongan berterusan serta pihak-pihak yang terlibat sehingga berjaya memperoleh pensijilan EKSA, walaupun dalam situasi penularan wabak COVID19 telah membataskan persediaan rapi dalam masa yang singkat," tambahnya lagi.

 

 WhatsApp Image 2020 10 23 at 12.45.11 PM  
 WhatsApp Image 2020 10 23 at 12.44.59 PM