AKTIVITI
Tools
Typography
  • Smaller Small Medium Big Bigger
  • Default Helvetica Segoe Georgia Times

KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Terengganu hari ini melupuskan dua bot Vietnam yang dilucut hak dengan kaedah pemusnahan secara ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Batu Burok, Kuala Terengganu.

Kedua-dua bot lucut hak tersebut adalah KG 1916 BS dan BT 96464 TS yang telah disabitkan kesalahan menceroboh dan mengaut hasil di perairan negara tanpa kebenaran pada tahun lepas. Proses lucut hak kedua-dua bot ini mengambil masa yang singkat iaitu KG 1916 BS ditangkap pada 25 April 2019 dan dilucut hak oleh mahkamah pada 9 Mei 2019. Manakala BT 96464 TS ditangkap pada 17 Mei 2019 dan dilucut hak pada 30 Mei 2019.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, disamping menjadikan bot-bot ini sebagai tukun tiruan yang akan menggalakkan pembiakan hidupan laut, tindakan menenggelamkan ini juga merupakan simbolik kepada komitmen Maritim Malaysia di dalam mengekang kebanjiran nelayan asing ke perairan negara.

“Ini satu isyarat dan ketegasan kerajaan dalam memerangi ancaman nelayan asing seterusnya memastikan kedaulatan perairan negara serta sumber perikanan terus terpelihara. Maritim Negeri Terengganu akan sentiasa mengetatkan kawalan perairan bagi membanteras salah laku jenayah seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing.” Jelas Muhammad Suffi lagi.

Menurut Muhammad Suffi, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan, Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) yang menjalankan kajian terperinci mengenai kaedah bot nelayan yang ditenggelamkan sebagai tukun tiruan.

Menurut beliau, “sehingga kini, Maritim Negeri Terengganu telah melupuskan sebanyak 151 bot nelayan asing untuk dijadikan tukun tiruan. Tahun ini sahaja, Martim Negeri Terengganu telah melupuskan 4 bot nelayan Vietnam yang telah selesai kes dan ditenggelamkan, termasuk pada hari ini," jelas Muhammad Suffi lagi.

Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

Beliau juga meminta kerjasama komuniti maritim agar bantu Maritim Negeri Terengganu dengan menjadi mata dan telinga serta menyalurkan maklumat dan aduan dengan cepat ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

IMG 1861  IMG 1864 
   
IMG 1872 IMG 1884