WARGA MARITIM2 BI  ORANG AWAM2 BI  MEDIA2 BI  DIREKTORI BI  eparticipation   logo carian tp
 

Latest News

 

KOTA TINGGI, 19 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili (DM 7) telah menahan sebuah kapal dagang MT Maju 8 kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Teluk Ramunia, dekat sini semalam.

 

Dalam kejadian lebih kurang jam 2.50 petang itu, kapal berkenaan dikesan bersauh di kedudukan 2.35 Batu Nautika selatan Teluk Ramunia oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan tersebut.

 

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah 7 Tanjung Sedili, Kepten Maritim Amran bin Hj Daud berkata, “kapal Maritim Malaysia telah menghampiri kapal terbabit dan melakukan pemeriksaan dan didapati kapal tersebut gagal melaporkan ketibaan kepada Pengarah Laut Malaysia dimana berlabuh tanpa kebenaran dan gagal membayar dius api”. Menurut beliau lagi, siasatan awal mendapati kapal MT Maju 8 yang didaftarkan di Batam, Indonesia itu membawa tujuh kru warganegara Indonesia. Ketua jurutera dan dua kru kapal telah ditahan dibawa ke Pejabat APMM Tanjung Sedili untuk tindakan selanjutnya.

 

Tambah beliau lagi, pemilik kapal boleh didakwa di bawah seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3, Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan, bersauh tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut dan gagal membayar Dius Api dan Jika didapati bersalah, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

 

“APMM akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan berterusan ke atas semua kapal-kapal yang bersauh secara haram sama ada di dalam atau luar batas pelabuhan,” katanya sambil mengalu-alukan maklumat dari orang ramai dalam membanteras jenayah maritim di Perairan Johor melalui talian telefon yang beroperasi 24 jam iaitu 07-2199519 atau 07-22219231.

Picture TANGKAPAN MOTO TANKER 009 

 

Sumber : LK Maritim Roswadi Mohamed
Staf Perhubungan Awam DM 7 Tanjung Sedili

KLANG, 17 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Daerah Maritim Klang (DM 4) telah berjaya menahan lebih kurang 30 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tekong yang disyaki cuba keluar dari Malaysia melalui kawasan yang tidak diwartakan dalam OP TUMPAS 1/2014 yang telah dilaksanakan sempena menjelang sambutan Aidilfitri.

Kepten Maritim Mohd Aliyas bin Hamdan, Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang (KPMD) berkata, “hasil maklumat pengesanan sasaran curiga oleh Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) bot ronda Maritim Malaysia berjaya menahan serta menangkap sebuah bot gentian kaca atau lebih dikenali dengan bot pancung yang tidak bernombor pendaftaran berwarna biru dengan menggunakan 2 enjin jenis Mercury 55 HP dan Mariner 55 HP sedang bergerak laju dalam keadaan yang mencurigakan menghala ke perairan Indonesia lebih kurang jam 5.30 pagi pada kedudukan lebih kurang 3.1 bn barat daya Sungai Air Hitam, Kelanang”.

“Bot ronda Maritim Malaysia telah berjaya memintas serta menahan bot tersebut dan mendapati 30 orang warga Indonesia berada di dalam bot tersebut termasuk tekong yang meliputi 23 lelaki dewasa, 1 kanak – kanak lelaki berumur 6 tahun, 1 bayi perempuan berumur lingkungan 10 bulan dan 5 perempuan dewasa. Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa suspek yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan terdapat juga suspek yang memiliki VISA yang tamat tempoh. Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 10 bulan hingga 42 tahun”.

Menurutnya lagi, “ kesemua suspek dan bot terbabit dibawa ke Jeti Daerah Maritim Klang untuk siasatan lanjut. Kesemua mereka kini direman untuk membantu siasatan lanjut di bawah seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959 / 63 iaitu keluar / masuk melalui kawasan yang tidak diwartakan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007”.

Disini saya ingin menasihati kepada warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman, agar menggunakan laluan yang sah (mengikut undang-undang)  atau yang telah diwartakan dengan membuat proses dokumentasi di kedutaan Indonesia dan Pejabat Imigresen Malaysia supaya dapat pulang dengan selamat.

“Pihak kami akan meneruskan lagi operasi bagi membendung dan membanteras PATI yang menggunakan laluan laut untuk keluar dan masuk memandangkan cara sebegini tidak selamat. Sebagai bukti, kejadian-kejadian yang telah berlaku adalah melibatkan  bot yang bersaiz kecil tetapi membawa muatan berlebihan dengan membuat bayaran kepada tekong-tekong haram yang sememangnya tidak bertanggungjawab”. 

 

tangkap PATI 2    Tangkap PATI 1-17jun14

 

Sumber / Foto : Staf Perhubungan Awam DM 4 Klang

                            LK (M) Mohd Zuhri B. Mat Akhir

 

 

KUALA LINGGI, 11 Julai – Rondaan yang berterusan dengan memberi tumpuan kepada lokasi yang sering digunakan bagi pergerakan keluar masuk secara tidak sah telah  dipertingkatkan. Sebuah Bot pemintas laju Petir 91 telah ditugaskan bagi membuat pemantauan penyeludupan dan pelakuan kesalahan jenayah dikawasan perairan Kuala Sepang sehingga ke pantai Morib disini, malam semalam.

Hasil maklumat risikan, pada jam lebih kurang 11.30 malam, Petir 91 telah mengesan pergerakan sebuah vessel yang mencurigakan pada kedudukan 2.8 batu nautika dari pantai Morib. Sebaik menghampiri dan mengarahkan bot tersebut berhenti untuk diperiksa, bot gentian kaca berwarna biru dan putih tersebut terus memecut laju, kejar mengejar berlaku hampir 15 minit hingga terjadi perlanggaran kecil yang mengakibatkan tekong bot tersebut mengalami kecederaan.

Bot berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut tiada nombor pendaftaran, empat orang warga Indonesia berada di dalam bot dan hanya seorang sahaja yang memiliki passport Indonesia. Bot tersebut dilengkapi dengan 2 buah enjin jenis Mercury 60 kuasa kuda. Bot dan PATI diiring masuk ke jeti Daerah Maritim 4 Klang dan diserah kepada pihak DM4 Klang untuk tindakan selanjutnya.

 

IMG 2617 edit   IMG 2656 edit

 

 

 

 

Sumber / Jurugambar

Bintara Kanan Maritim Roslan 

 

 

 

 

 

 

SANDAKAN, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Sandakan (DM17) telah menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 untuk memberi bantuan kecemasan kepada dua orang penumpang feri di perairan Sandakan awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan di sini, Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Sandakan, Kepten Maritim A.Razak Abd Rahman berkata, kedua-dua mangsa yang berumur  39 dan 42 tahun tersebut dalam perjalanan pulang ke Zamboanga, Filipina dengan menaiki sebuah feri penumpang di Sandakan. Namun feri tersebut terpaksa bersauh di perairan Sandakan setelah keluar dari pelabuhan kerana mengalami kerosakan pada jentera utama dan mengambil masa selama tiga hari untuk pembaikan.

“Salah seorang mangsa mengalami tekanan darah tinggi manakala seorang lagi mangsa mengidap kencing manis serta mengalami sesak nafas. Mangsa telah diberi  bantuan pernafasan dengan menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Tambah beliau, DM17 telah mengarahkan sebuah kapal peronda untuk mengambil mangsa. Seterusnya mangsa telah dibawa ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) menggunakan ambulans HDOK dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sandakan untuk pemeriksaan lanjut.

Selain menguatkuasakan undang-undang Maritim, agensi ini juga memandang serius tentang laporan dan aduan yang diterima khasnya dalam misi menyelamat nyawa dan harta benda. Sehubungan itu, orang ramai diseru agar menyalurkan sebarang aduan atau kecemasan di laut di talian 24 jam Pusat Operasi Daerah Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

IMG-20140716-WA0021 IMG-20140716-WA0020

 

Disediakan oleh :

Laskar Kelas I Maritim Mohd Dhiyaurrahman bin Shaari

Staf Perhubungan Awam Daerah Maritim Sandakan (DM17)