PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan kira-kira 700,000 liter minyak diesel bernilai RM1.4 juta dirompak dalam kejadian kapal tangki 'MT Ai Maru' yang ditawan lanun di 31 Batu Nautika Timur Tanjung Sedili, Johor, Sabtu malam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pihaknya turut menyiasat pembabitan orang dalam iaitu 13 anak kapal warga Thailand serta seorang kapten warga Indonesia .
"Kapal tersebut kini sedang diiring oleh kapal KM Manjung milik APMM untuk masuk ke perairan Pengerang dan dijangka tiba pukul 7 malam bagi membolehkan siasatan dilakukan," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini Ahad.
Dalam kejadian jam 8 malam tadi, kapal berkenaan yang didaftarkan di Honduras dalam perjalanan dari Singapura ke Kemboja telah dirampas kumpulan lanun yang dilaporkan menggunakan bot laju.
Biro Maritim Antarabangsa (IMB) menerima maklumat kira-kira sejam kemudian sebelum memaklumkan kepada APMM serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan TLDM menghantar kapal KD Terengganu.
Mohd Puzi berkata kapal itu ditemui pukul 3.20 pagi tadi dan pemeriksaan mendapati kesemua anak kapal dalam keadaan selamat dan soal siasat terhadap kapten kapal mendapati kumpulan lanun itu terdiri daripada tujuh orang namun status warganegara mereka belum dapat dikenal pasti.
Katanya kumpulan lanun terbabit dipercayai melarikan diri ke pulau-pulau berhampiran seperti Pulau Andalas di Indonesia atau Pulau Aur selepas rompakan itu.
"Berdasarkan siasatan terhadap anak kapal, kumpulan lanun tersebut telah mengepam keluar minyak itu dalam masa tiga jam setengah ke sebuah kapal lain yang tidak dapat dipastikan.
"Semasa kejadian itu kapten kapal mendakwa anak-anak kapal telah dikurung dalam sebuah bilik manakala beliau telah diarahkan untuk mengemudi kapal tersebut oleh kumpulan yang bersenjatakan parang serta pistol itu," katanya.
Beliau berkata tempoh mengepam keluar atau masuk minyak ke kapal lanun juga adalah fokus siasatan untuk meneliti kebenaran kenyataan anak kapal serta kapten.
Mengulas lanjut, Ahmad Puzi berkata sebelum ini terdapat beberapa kapal lain di bawah nama syarikat itu telah dirompak dan mempunyai kaitan dengan penama di syarikat tersebut dan terbaru ialah pada 22 April lepas di perairan Pelabuhan Klang.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
-- BERNAMA
![]() |