KOTA TINGGI, 26 Julai – Satu kejadian rompakan kapal telah berlaku di perairan Pengerang, Kota Tinggi, Johor. Kejadian berlaku pada jam 10.40 malam tadi di kedudukan 2.5 batu nautika Barat Laut Teluk Ramunia.

Menurut Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Amran bin Hj Daud, setelah menerima maklumat menyatakan sebuah kapal iaitu MT Jix Iang yang berdaftar di Ulan Bator Mongolia dirompak, beliau telah mengarahkan dua buah bot dan sebuah kapal ke lokasi kejadian. Semasa menghampiri kapal berkenaan didapati perompak telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak Maritim Malaysia dengan melarikan diri menghala ke Pulau Lima. Walau bagaimanapun sebuah bot ronda Maritim Malaysia cuba mengejar perompak tersebut tetapi gagal kerana mereka telah menghilangkan diri di kawasan perairan negara jiran.

Siasatan awal mendapati seorang anak kapal warga Indonesia telah ditembak dibahagian leher dan mangsa yang cedera itu terus di bawa ke Jeti  Marina, Tanjung Pengelih untuk di bawa ke Hospital Kota Tinggi. Menurut maklumat yang diterima daripada kru kapal, perompak seramai tujuh orang dipercayai warga Indonesia berdasarkan kepada dialog percakapan mereka. Hasil pemeriksaan di atas kapal tersebut telah menemui dua pucuk pistol dan sebilah parang dipercayai ditinggalkan oleh perompak semasa melarikan diri. Kapal tersebut membawa 14 kru terdiri daripada tujuh warganegara Myanmar, seorang warganegara China dan enam warganegara Indonesia.

Menurut Amran lagi, “sepanjang Januari hingga kini tiga kes cubaan merompak kapal dilaporkan di sekitar perairan Pengerang, kami akan mempergiatkan usaha termasuk meningkatkan jaringan komunikasi bersama komuniti maritim di sekitar perairan Johor bagi membendung kegiatan jenayah itu daripada terus berleluasa”.

Kes tersebut masih dalam siasatan oleh pegawai penyiasat Maritim Daerah Tanjung Sedili. Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim bolehlah menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Selatan di talian ,07-2199519/ 07-22219231.

          IMG-20140726-WA0003                              IMG-20140726-WA0009

Sumber : Staf Perhubungan Awam Tanjung Sedili

LK (M) Roswadi bin Mohamed