|
KUANTAN, 31 Dis; Unit Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi, Cawangan Sumber Manusia APMM telah menganjurkan satu Taklimat Gerak Kerja Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bertempat di Hotel Grand Continental, Kuantan bermula 29 hingga 31 Disember 2009.
Taklimat yang berjalan selama 3 hari 2 malam itu bertujuan memberi pendedahan asas mengenai hal pentadbiran kepada Pegawai PTD yang dilantik bermula tahun 2009 di APMM seluruh negara. Taklimat tersebut merangkumi aspek pengurusan sumber manusia, pengurusan aset, ICT, dan pentadbiran am. Hal ini sejajar dengan skop kerja PTD yang berperanan untuk memastikan urusan pentadbiran berjalan dengan lancar dan efisien.
Pengarah Cawangan Sumber Manusia, Tuan Haji Md Misron bin Yusof, Pengarah Cawangan Pentadbiran dan Keurusetiaan, Puan Maimon binti K.A Ramullan serta Pengarah Operasi dan Eksesais, Laksamana Pertama Maritim Ahmad Puzi bin Ab Kahar adalah antara penceramah yang hadir untuk memberi taklimat.
Salah seorang peserta, Firdaus Azmir bin Md Nor, 25, dari SWASLA menyatakan bahawa taklimat ini memberi peluang kepada beliau untuk mengukuhkan hubungan kerja dengan rakan-rakan dari ibu pejabat, wilayah, daerah, dan pangkalan maritim seluruh Malaysia. “Taklimat ini merupakan satu platform yang baik buat saya serta rakan-rakan untuk berkongsi pengalaman dan ilmu antara satu sama lain ”katanya di akhir sesi taklimat.
Majlis penutup Taklimat Gerak Kerja PTD yang berakhir tengahari, telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Y.M Dato’ Raja Hydar bin Raja Iskandar. Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Penguatkuasa Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Dato’ Ismail bin Hamzah serta Pengarah Cawangan Sumber Manusia, Tuan Haji Md Misron bin Yusof. Majlis berakhir dengan penyampaian sijil kepada para peserta.

Oleh : Cik Afiifah Hassan Foto : BM Maritim Fairul Sumber : Staf Perhubungan Awam WILTIM
|