|
Sandakan, 04 Oktober - Penguasaan bahasa atau dialek setempat mampu menjadi landasan komunikasi terbaik dalam memantapkan operasi penguatkuasaan.
Sehubungan dengan itu DM17 telah mengadakan kursus Bahasa Suluk pada 02 Oktober bertempat di bilik mesyuarat DM17.
Kursus yang dihadiri oleh seramai 70 anggota DM17 bertujuan untuk memberikan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Suluk semasa menjalankan penguatkuasaan di laut. Turut sama menyertai kursus ini ialah Kapten Maritim Mohamad Onn bin Khalil, Pengarah Operasi Daerah, V. Pannir Selvan a/l Veloo, pegawai-pegawai memerintah kapal dan pegawai-pegawai muda.
Sarjan Manar bin Arshad dari IPD Sandakan telah dijemput untuk menyampaikan kursus ini. Beliau merupakan anggota polis yang telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam dialek masyarakat di Sandakan.
Kepelbagaian kaum di Sandakan telah mendorong DM17 mengadakan kursus Bahasa Suluk kerana majoriti masyarakat nelayan terdiri daripada masyarakat berbangsa Suluk yang berasal dari Filipina terutamanya dari pulau-pulau yang berdekatan dengan Sandakan. Kumpulan ini sering keluar masuk ke Sandakan dengan menggunakan bot untuk menjalankan aktiviti urusniaga . Oleh yang demikian, pembelajaran Bahasa Suluk ini amat penting bagi memudahkan penguatkuasaan di laut jika bertemu dengan golongan ini. Hal ini yang menjadi objektif utama kepada tujuan kursus ini dijalankan.
Para anggota telah didedahkan dengan pelbagai contoh-contoh komunikasi menggunakan Bahasa Suluk seperti LINGKUD KAMU yang bermaksud kamu duduk. Kapten kapal ikut saya, dalam Bahasa Suluk JAURAGAN LANSA AGAD KAU KA KU. Manakala PAGUA A IN PASPORT NEW bermaksud keluarkan pasport kamu. Siapa punya bot ini, KAN SIU TAGDAPU SIN LANCA INI dan UNU IN HALAUM SI MELITA YAN I yang bermaksud apa barang dalam beg itu.
Pendedahan kepada Bahasa Suluk ini diharap dapat dimanfaatkan di daerah maritim yang lain sekiranya anggota bertukar kelak. Selain itu, segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang kursus ini dapat digunakan sepenuhnya semasa menjalankan penguatkuasaan di laut.
Sumber maklumat : BM (M) Zam Suri Hj Karia Staf Perhubungan Awam APMM WILSAB Sandakan
|