MERUJUK surat bertajuk 'Nelayan Thailand makin rakus menceroboh ketika tengkujuh' disiarkan 28 Disember lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengucapkan terima kasih.
Walaupun agensi ini baru empat tahun ditubuhkan, operasi penguatkuasaan tetap dilaksanakan termasuk musim tengkujuh. Operasi pengawasan perairan negara turut dibantu oleh pesawat udara Maritim Malaysia, TUDM dan Unit Udara Polis.
Lazimnya, tindakan akan diambil sebaik saja menerima laporan pengesanan daripada pengawasan udara. Perancangan untuk meningkatkan keupayaan dari segi perolehan aset dan keanggotaan sedang dilaksanakan.
Sejak melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada 2006 hingga sekarang, 137 bot nelayan Vietnam dan 33 bot nelayan Thailand disabitkan dengan kesalahan menceroboh.
Untuk makluman, berdasarkan Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982, kehadiran bot nelayan asing yang berlindung di pulau di pantai Timur Semenanjung Malaysia pada dasarnya dibenarkan atas keperluan berlindung daripada cuaca buruk terutama musim tengkujuh.
Bagaimanapun, warga bot nelayan asing dilarang mendarat di pulau berhampiran dan bot itu perlu belayar meninggalkan perairan negara selepas cuaca reda.
Oleh itu, bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga mana-mana kegiatan yang menyalahi undang-undang persekutuan di perairan negara, kerjasama orang awam, penduduk pulau dan nelayan tempatan amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat dengan segera ke Maritim Malaysia, Putrajaya di talian hotline 03-89434001 atau Daerah Maritim Kuala Terengganu di 09-6222703.
FARIDAH SHUIB Pegawai Perhubungan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA, JABATAN PERDANA MENTERI, TINGKAT 4-11, ONE IOI SQUARE,IOI RESORT, 62502 PUTRAJAYA. No Tel : 603-89957000 | No Fax : 603-89414000
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer versi 7.0 dengan resolusi 1024 x 768. Hakcipta Terpelihara 2009 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia | Laman Web ini diselenggara oleh : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia*