|
SURAT PENGADU
Musim tengkujuh yang memberi kesan kepada nelayan tempatan sebenarnya menjadi lubuk emas kepada nelayan asing terutama dari Thailand untuk menceroboh perairan Terengganu. Ketika tengkujuh, hanya nelayan mempunyai bo bersaiz B dan C berani meredah laut mencari rezeki.
Nelayan ini yang menjadi saksi bagaimana nelayan haram Thailand menceroboh perairan kita. Hal ini bukan baru, tetapi sudah menjadi isu lapuk terutama musim tengkujuh. Kerakusan nelayan Thailand terbukti apabila mereka sanggup menceroboh taman laut negara.
Saya yang tinggal di perkampungan nelayan sering mendengar rintihan mereka terhadap pencerobohan keterlaluan ini. Pencerobohan berlaku setiap masa, tetapi ketika tengkujuh nelayan Thailand makin melampau.
Apa guna kerajaan membuat tukun tiruan untuk menjaga kelangsungan spesis ikan sedangkan tiap hari nelayan haram menceroboh peraiaran kita. Isu ini berlarutan hampir lima tahun.
Saya menyampaikan luahan hati nelayan terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan, di mana tanggungjawab mereka? Memang bahaya ke laut ketika tengkujuh. Jika nelayan dengan bot B pun boleh turun ke laut, mengapa pihak berkuasa yang mempunyai bot lebih besar atau kapal, takut ke laut membuat rondaan?
Lebih menghairankan, jika pihak berkuasa membuat rondaan, penceroboh menghilangkan diri. Pelik, mungkin ada musuh dalam selimut. Apabila televisyen menyiarkan kejayaan penguatkuasa menahan bot nelayan asing, nelayan tempatan menganggap sekadar mencari publisiti sedangkan pencerobohan nelayan Thai semakin berleluasa.
NELAYAN MERINTIH , Terengganu.
Sumber : Berita Harian, 28 Dis. 2009
|