|
Pulau Pinang, 1 Feb 2010 - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Daerah Maritim 2 Pulau Pinang telah menahan sebuah bot mewah yang dipercayai menyeludup pelbagai jenis arak berjenama dari Pulau Langkawi ke Pulau Pinang Isnin lepas.
Bot mewah tersebut dipercayai datang dari arah jambatan Pulau Pinang menuju ke Jeti Jabatan Laut Batu Uban pada jam 10.15 malam yang dilihat dalam keadaan mencurigakan. Bot mewah yang dikenalpasti, M.Y MANDALA yang berdaftar di Road Town Tortola British Virgin Islands itu, dikendalikan oleh tiga orang kru warganegara Malaysia.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan, terdapat 95 botol dan 96 tin arak pelbagai jenama serta 62 botol bir yang disorok di salah satu kompatmen dalam bot mewah tersebut yang dianggarkan bernilai RM 50,255.50. Ketiga-tiga krew bot tersebut ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Daerah Maritim 2 Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
Kesalahan dipertuduhkan dibawah Akta Kastam 1967 (Seksyen 135(1)(E), bersabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda amaun duti kastam atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumber : LK II (M) Fatimah Wati binti Juhai / Foto : BK (M) Abidin bin Hj Sulaiman
Staf Perhubungan Awam Daerah Maritim 2 Pulau Pinang
|